Intelek kurang membaca
Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK
Budaya membaca yang kuat adalah teras utama dan prasyarat untuk menjadi sebuah negara maju. Jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa adalah bergantung kepada tahap pemikiran dan minda rakyatnya.
Hakikat ini tidak dapat dinafikan dan buktinya budaya membaca menjadi aspirasi negara dan masyarakat yang bertamadun. Oleh yang demikian, amat tidak masuk akal dan memalukan apabila sebuah laporan mendakwa pelajar universiti di institusi pengajian tinggi yang mewakili masyarakat berilmu di negara ini hanya sempat membaca 12 buah buku sahaja sepanjang mereka berada di menara gading.
Melihat kepada kajian tersebut, adalah dibimbangi apakah bentuk, rupa dan sifat generasi berilmu yang bakal dilahirkan oleh negara pada masa hadapan jika mentaliti, tahap dan status minat membaca yang terlalu rendah ini.
Oleh itu, tabiat membaca yang masih rendah ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan indeks tabiat membaca dapat dipertingkatkan segera. Dilaporkan amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar universiti di luar negara iaitu secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian atau empat buku setahun.
Keadaan ini berkemungkinan besar kerana sikap negatif mahasiswa itu sendiri yang terlalu bergantung dengan nota yang diberikan oleh para pensyarah dan tutor ataupun mengharapkan ihsan nota ringkasan pelajar senior.
Ada juga yang mengambil jalan mudah dengan membuat salinan fotokopi nota rakan sekuliah dan menjadikannya kitab rujukan utama. Situasi ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa tidak perlu membaca buku tambahan dan membuat rujukan atau kajian lain kerana mereka boleh lulus dengan hanya berkiblatkan nota yang diberikan oleh pensyarah dan tutor sahaja.
Walaupun para pensyarah amat menggalakkan para pelajar membuat rujukan dengan buku tambahan dan bahan rujukan lain, namun berapa ramai yang berbuat sedemikian. Ini boleh dilihat kepada jumlah pelajar yang berkunjung ke perpustakaan universiti setiap hari dan meminjam buku untuk rujukan tambahan.
terus membaca...